Lelaki Dipenjara 25 Tahun, 10 Sebatan Rogol Anak Saudara Berusia 15 Tahun

Mahkamah Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang lelaki dipenjara 25 tahun dan dikenakan 10 sebatan selepas didapati bersalah merogol anak saudaranya.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Suhailla Selag pada prosiding di Mahkamah Sesyen Lahad Datu, di sini, pada Rabu.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh yang berusia 41 tahun itu, didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Ketika membacakan keputusan, Suhailla berkata mahkamah mendapati tertuduh bersalah setelah meneliti secara menyeluruh keterangan dikemukakan dan menimbangkan hujahan bertulis kedua-dua pihak sebelum mensabitkannya atas pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki terbabit didakwa merogol anak saudaranya berusia 15 tahun yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kunak, kira-kira jam 3 pagi pada Disember 2020.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dengan seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan, manakala pihak pembelaan pula memanggil lima saksi sepanjang perbicaraan yang bermula pada 20 Ogos 2024.

Peguam Abdul Gani Zelika bersama Mohd Ridwan Usman yang mewakili tertuduh kemudian memohon mahkamah menangguhkan hukuman bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dan diterima.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *