Syabu RM1.26 Juta Disorok Dalam Papan Pemotong, Dua Lelaki Ditahan di Penampang

Jauteh menunjukkan papan pemotong yang digunakan untuk menyorokkan bekalan syabu sebelum diseludup masuk ke Sabah.

PENAMPANG : Cubaan menyeludup dan mengedar dadah menggunakan taktik penyamaran baharu dengan menyembunyikan syabu dalam papan pemotong berjaya dipatahkan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Donggongon, di sini.

Dalam operasi sekitar jam 11.26 malam, 6 Januari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 29 tahun ketika sedang menyusun bungkusan dan kotak mencurigakan.

Pemeriksaan menemui 40 bungkusan plastik berisi 39.5 kilogram syabu bernilai lebih RM1.26 juta, yang dianggarkan mampu menampung 112,857 kali penagihan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata sindiket terbabit menggunakan laluan laut ke Sabah dan menyorokkan dadah dalam papan pemotong bagi mengaburi pihak berkuasa.

Sebanyak 11 kotak berisi papan pemotong, setiap satu mengandungi 200 gram syabu, dirampas. Kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai penerima dan pengedar bekalan dadah ke pasaran tempatan.

Saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis benzo dan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah serta imigresen.

Dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang pengurus kelab malam di Bundusan pada 2 Januari lalu dan merampas lebih 280 gram dadah pelbagai jenis bernilai hampir RM26,000, selain menyita sebuah kereta.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *