Bukan Anti-Persekutuan, Sabah Hanya Tuntut Hak 40 Peratus – Ewon

Datuk Ewon Benedick

KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, menegaskan Sabah hanya menuntut hak yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak kurang, tidak lebih.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian itu berkata, adalah tidak tepat untuk melabelkan Sabah sebagai anti-Persekutuan kerana Sabah dan Sarawak adalah rakan yang bersama-sama menubuhkan Persekutuan Malaysia.

“Tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada negara Malaysia yang ditubuhkan pada 1963.

“Persekutuan Malaysia ini hanya akan sempurna apabila hak-hak istimewa Sabah dan Sarawak, sama seperti hak-hak istimewa negeri-negeri lain, dapat diberikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.

“UPKO akan terus berjuang mempertahankan hak 40 peratus yang menjadi syarat utama Sabah menyertai penubuhan Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena Program Jelajah Sabah First di Kadamaian di sini, hari ini.

Ewon berkata, UPKO sentiasa tegas dalam mempertahankan maruah rakyat Sabah dan hak-hak negeri ini seperti yang dipersetujui dalam MA63 dan perlembagaan, khususnya syarat utama berhubung tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan.

“Hak itu ialah pulangan 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah dan ia mesti dibayar segera kepada rakyat Sabah.

“Kita hanya mahu hak kita dihormati,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *