WARISAN Lihat Gelombang Perubahan Menjelang PRU17 Sabah – Shafie

Mohd Shafie yakin gelombang perubahan dalam kalangan rakyat akan memilih WARISAN untuk menyelamatkan Sabah.

SANDAKAN: Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal optimis sokongan terhadap parti itu semakin bertambah menjelang hari mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU17 Sabah) 29 November ini.

Beliau berkata, parti itu memberi pilihan alternatif kepada rakyat Sabah yang inginkan sebuah kerajaan yang boleh mentadbir negeri ini dengan lebih baik.

Berdasarkan situasi semasa sepanjang kempen WARISAN, beliau melihat wujud gelombang perubahan dalam kalangan rakyat untuk menyelamatkan Sabah.

“WARISAN akan urus pentadbiran negeri ini dengan lebih baik serta melakukan perubahan struktur pada sistem pengangkutan awam.

“Kita sudah merdeka selama 60 tahun namun, belum ada sistem pengangkutan awam yang baik di negeri ini.

“Kita juga berhasrat untuk membina empangan di Kinabatangan bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air di Sabah yang membelenggu rakyat sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Ceramah Umum WARISAN di Bandar Kim Fung, di sini semalam.

Mohd Shafie berkata, pembinaan empangan itu bukan hanya membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air malah, akan membantu menstabilkan bekalan elektrik ke kawasan Pantai Timur Sabah.

Menurutnya, Sabah mempunyai sumber air yang banyak namun, ia perlu disusun atur dengan teliti agar tidak mengganggu ekosistem alam sekitar khususnya di kawasan Kinabatangan yang menjadi rumah kepada habitat hidupan liar.

Program Ceramah Umum itu turut dihadiri oleh calon-calon WARISAN di Zon lima termasuk penyandang kerusi DUN Elopura Calvin Chong dan penyandang kerusi DUN Sekong, Alias Sani.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *