
TAWAU: Polis mengeluarkan 20 saman trafik menerusi operasi bersepadu membanteras kegiatan lumba haram di Kilometer 45, Jalan Tawau–Semporna, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, operasi yang dijalankan dari jam 5.01 petang hingga 9 malam itu melibatkan 19 anggota, terdiri daripada 17 anggota Balai Polis Bandar Sri Indah dan dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau.
“Sebanyak 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk motosikal tanpa cermin sisi, ubah suai ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu serta aksesori tidak sempurna,” katanya.
Menurut beliau, 19 buah motosikal bersama penunggang lelaki diperiksa, namun tiada tangkapan atau sitaan dibuat. Pemeriksaan turut dilakukan melalui sistem MCOP/MCAD.
ACP Jasmin menegaskan operasi bersepadu seumpama itu akan diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta membanteras aktiviti lumba haram di daerah ini.
“Polis mengingatkan orang ramai, khususnya golongan muda, agar tidak terlibat dalam lumba haram yang mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna lain. PDRM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah