Pembangkang Sengaja Reka Isu, Sebar Fitnah Untuk Perdaya Rakyat – Hajiji

Hajiji ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Agung Tahunan, Parti Gagasan Rakyat Sabah.

KOTA KINABALU: Pembangkang banyak memainkan isu yang sengaja direka cipta untuk memperdaya rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelbagai isu yang disebarkan melalui media sosial ketika ini menjadi antara cabaran besar dihadapi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam usaha mengekalkan kedudukannya pada PRN nanti.

Katanya, ia adalah dakyah dan propaganda yang digunakan pembangkang bagi menjejaskan reputasi GRS dengan niat untuk membuatkan rakyat percaya terhadap dakwaan mereka atas kepentingan politik.

“PRN17 membawa 1,001 cabaran kepada kita. Cabaran bukan kerana pembangkang kuat atau kita lemah, tetapi cabaran dalam berhadapan dengan pembohongan, kepalsuan, cerita-cerita rekaan dan paling besar, fitnah.

“Hari ini, media sosial menjadi medium paling popular untuk menyebar dakyah dan propaganda. Saban hari berbagai cerita, klip video dan infografik palsu disebar-luas.

“Inilah kaedah serangan pembangkang terhadap kita melalui dunia maya yang harus di perangi habis-habisan. Jangan sampai pembohongan, penipuan dan fitnah berleluasa atau menguasai pilihan raya ini, sepertimana yang berlaku pada dua pilihan raya lalu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Agung Tahunan, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di sini hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, isu-isu yang dimainkan pihak pembangkang tidak semuanya benar atau sahih. Banyak yang dibuat-buat dan direka cipta untuk memperdaya rakyat supaya mereka percaya.

Ketegasan beliau itu menjawab pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dilempar atau dikaitkan dengan GRS serta pemimpinnya ketika PRN17 kini diambang pintu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, perkara seperti itu boleh menimbulkan huru-hara politik yang tidak berkesudahan.

“Menyebar fitnah dan pembohongan adalah mainan politik kotor yang sangat kita kecam.

“Janganlah kita terikut-ikut dengan mainan kotor seperti itu, kerana ia bukan sahaja satu kesalahan dan dosa besar tetapi parti yang menang kerana politik kotor, fitnah dan pembohongan, pasti tidak akan bertahan lama, sebab lambat laun perkara sebenar akan terserlah juga,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menekankan kejayaan yang dicapai GRS sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beramanah dan bekerja keras untuk membawa perubahan dan kemajuan kepada negeri dan rakyat.

Menurutnya, sepanjang lima tahun memimpin kerajaan, membina GRS dan disusuli pembentukan Gagasan Rakyat, rakyat Sabah kini melihat ‘rumah’ yang dibina atas dasar perjuangan, keikhlasan, cita-cita dan aspirasi mereka sendiri.

Beliau berkata, walaupun parti pimpinannya itu masih setahun jagung tetapi ia didukung oleh pemimpin yang berpengalaman.

“Pendukung Gagasan Rakyat bukan calang-calang, mereka adalah pejuang yang masak dengan sepak terajang politik, pengalaman mereka bukan kepalang, tenang dan sabar menghadapi cabaran, jatuh bangun, tawa dan duka dalam mempertahankan prinsip dan maruah perjuangan.

“Sebagai ahli politik veteran, kita adalah pembela dan pejuang yang cukup berpengalaman. Perjuangan masa lalu, ditokok tambah lagi dengan perjuangan yang hebat dalam GRS dan Gagasan Rakyat, membentuk kita menjadi orang politik yang sarat dengan pengalaman, buah fikiran dan ilmu pengetahuan, ilmu berpolitik serta ilmu berkerajaan.

“Dengan hakikat itu, kita tidak lagi perlu merasa rendah diri atau segan silu dengan orang-orang politik di luar sana, khususnya golongan pembangkang dan mereka yang antikerajaan, yang berlagak maha bijaksana,” tambahnya.
Hajiji berkata, sebagai pendukung GRS yang mengetuai kerajaan, Gagasan Rakyat bersama parti lain komponen GRS, berjaya menyempurnakan tempoh pemerintahan selama satu penggal dengan pencapaian yang membanggakan.

Menurutnya, walaupun berdepan dengan cabaran dan tribulasi serta serangan berterusan pembangkang yang memperlekeh dan memperkecil usaha kerajaan dengan tuduhan kerajaan lemah dan tidak berwibawa, hakikat kejayaan yang dicapai GRS tidak boleh dinafikan.

Beliau berkata, jika cara itu tidak mencukupi untuk menggugat kestabilan atau menjatuhkan maruah pemimpin kerajaan, musuh politik menggunakan pendekatan lebih jahat dan kotor dengan menyebarkan dakyah, pembohongan dan fitnah.

“Saya sedar, ada pihak yang irihati dengan kita, mencemburui kejayaan dan pencapaian kita. Mereka ingin melihat kita lemah, berpecah-belah dan mereka juga ingin mengaibkan dan menjatuhkan maruah kita dengan pelbagai tuduhan, tohmahan dan fitnah yang disebar luas untuk memperdaya rakyat.

“Mereka tidak akan berhenti daripada menyebarkan segala dakyah dan pembohongan. Mereka adalah musuh kita, musuh yang ingin melihat kita lemah, jatuh dan kalah dalam pilihan raya, mereka tidak akan berhenti, malah akan terus membantai dan memperlekeh usaha dan kerja keras kita.

“Atas sebab itu, ahli dan pemimpin GRS perlu berhati-hati dan berwaspada dengan gerakan sulit yang dijalankan secara halus untuk menjatuhkan pemimpin dan kerajaan.

“Saya percaya anda semua tahu apa yang saya maksudkan. Peringatan ikhlas daripada saya, kita jaga GRS ini sebaik-baiknya. GRS adalah rumah kita, rumah kita, kitalah yang menjaganya, kerana di sinilah tempat kita berteduh dan rumah tempat kita mengatur perjuangan,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *