
RANAU :Seorang lelaki berusia 42 tahun maut manakala penumpangnya cedera ringan selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori muatan sawit di Kilometer 45, Jalan Ranau-Telupid, semalam.
Kemalangan berlaku sekitar jam 1.15 tengah hari apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dalam perjalanan dari Telupid ke Pekan Ranau dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori berkenaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Panginatan akibat kecederaan dalaman. Penumpang lelaki berusia 18 tahun pula hanya mengalami luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Ranau.
Pemandu lori berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Mursalin Mahmud, memaklumkan bahawa siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah