Alesyah Asa Penerima Anugerah Ikon TVET Sabah 2023

KOTA KINABALU : Alesyah Asa, alumni Kolej Vokasional Keningau yang kini bertugas sebagai pembantu penyelia di salah sebuah syarikat pembinaan di Sabah, telah dipilih sebagai penerima anugerah Ikon TVET Sabah sempena persidangan International Sabah TVET Symposium pada 10 sehingga 11 Oktober 2023 yang berlangsung di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabah.

Simposium tersebut adalah anjuran beberapa institusi iaitu North Borneo University College (NBUC), Institute Development Studies (IDS) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Alesyah menerima plak, sijil dan wang ringgit berjumlah lima ribu ringgit. Dia juga merupakan salah seorang pembicara forum yang berlangsung di simposium itu.

Alesyah Asa dipilih sebagai penerima anugerah itu atas pencapaiannya di peringkat tempatan dan global dalam bidang inovasi dan STEM.

Dia merupakan pelajar Malaysia pertama berjaya menjadi 10 finalis terbaik Global Student Prize iaitu anugerah pelajar paling berprestij di dunia pada tahun 2022.

Dia juga pernah mengetuai pasukan sekolahnya yang berjaya memenangi hackathon anjuran UNESCO pada tahun 2020 dalam kategori inovasi komuniti. Pada tahun yang sama, pasukan mereka berjaya memenangi geran STEM dari The Awesome Foundation yang berpusat di Amerika Syarikat.

Dia bersama pasukannya juga pernah membentang projek inovasi teknologi pembinaan mereka di beberapa persidangan dan pertandingan inovasi.

Atas pencapaian-pencapaian ini, dia telah dianugerahkan dengan bintang kebesaran Bintang Kinabalu (B.K) dari Yang di-Pertua Negeri Sabah iaitu Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin pada hujung tahun 2022.

Dia juga telah dipilih sebagai penerima Anugerah Emas Menteri Pendidikan dari Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek semasa majlis graduasi pelajar Kolej Vokasional pada awal tahun 2023.

Malah, dia telah dijulang sebagai ikon belia apabila turut diberi pengiktirafan oleh Jabatan Belia & Sukan negeri Sabah pada tahun 2022.

Menurut oengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Bin Akup, dia berasa sangat gembira dengan penghargaan tersebut yang diberikan kepada alumni kolej itu yang telah pun menempa kerjaya dalam bidang pembinaan selari dengan program yang dipelajarinya di institusi itu.

Pemilihan Alesyah sebagai penerima anugerah itu membuktikan kemenjadian graduasi TVET di negeri ini.

Alesyah Asa berasa sangat terharu dengan anugerah itu kerana ianya adalah mampu meningkatkan lagi persepsi orang awam terhadap pendidikan vokasional yang semakin signifikan di era ekonomi yang cepat berubah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *