Kontraktor Wanita Rugi RM294,118 Akibat Macau Scam

Gambar Hiasan

BEAUFORT: Kontraktor wanita kerugian sebanyak RM294,118 selepas terpedaya dengan panggilan telefon yang menggunakan taktik ‘Macau Scam’.

Bagaimanapun, ia hanya disedari selepas lima bulan apabila mangsa berusia 60 tahun terbabit cuba membuat pengeluaran dari bank akaun miliknya, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, berdasarkan laporan mangsa, mangsa mendakwa menerima panggilan daripada orang tidak dikenali pada 12 November lalu.

Katanya, pemanggil berkenaan mengaku sebagai pegawai insurans dan mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insurans sebanyak RM75,000 yang mencurigakan.

“Panggilan kemudiannya disambung kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan memberitahu nama mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram.

“Untuk ‘membersihkan’ nama, mangsa diminta membuka satu akaun bank yang baharu kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mangsa turut diminta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan selain diarahkan supaya memberikan nombor akaun, nombor PIN dan kata laluan bank milik mangsa.

Katanya, mangsa turut diberi peringatan supaya tidak mengemas kini akaun milik mangsa serta tidak berhubung dengan orang lain kononnya bagi tujuan supaya tidak mengganggu siasatan polis.

“Bagaimanapun, selepas lima bulan, mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila mendapati wang miliknya lesap ketika cuba membuat pengeluaran wang dari akaun bank, semalam.

“Mangsa terus membuat laporan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *