Peter Anthony Harap GRS Terima KDM Sebelum PRU15

Presiden KDM Peter Anthony (tengah, pelitup muka gelap) mengadakan pertemuan dengan masyarakat Cina di kawasan Sepanggar hari ini.

KOTA KINABALU: Bekas Naib Presiden Warisan, Peter Anthony berharap Parti Kesejahteraan Demokratik Rakyat (KDM) yang baru ditubuhkannya akan diterima menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum pilihan raya umum akan datang.

Anthony yang juga Presiden KDM berkata, setakat ini mereka tidak menerima sebarang perkembangan sejak mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai GRS pada 13 Mac.

“Saya dimaklumkan bahawa GRS telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti permohonan kami, jadi kami hanya perlu menunggu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama masyarakat Cina di kawasan Sepanggar dekat sini hari ini.

“Kami akan beri masa kepada Ketua Menteri (Hajiji Noor) untuk membuat keputusan.”

Ditanya sama ada beliau yakin KDM akan diterima sebelum pilihan raya umum, ADUN Melalap berkata: “Mudah-mudahan. Tetapi dalam apa jua keadaan, penting bagi kami untuk terus membina hubungan kami dengan rakyat.”

Hajiji yang juga Pengerusi pro tem GRS sebelum ini berkata, satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menyemak permohonan daripada pihak yang berminat untuk menyertai gabungan itu termasuk daripada KDM dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO Baru).

Setakat ini hanya empat pihak secara rasmi menjadi sebahagian daripada GRS, yang didaftarkan secara rasmi bulan lepas.

Selain Bersatu, yang diterajui Hajiji, parti lain ialah Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Anthony, yang juga bekas Menteri Infrastruktur di bawah kerajaan negeri pimpinan Warisan, sebelum ini berkata beliau telah meletak jawatan untuk menubuhkan parti baharu “untuk mengurangkan konflik politik di Sabah”.

Katanya, beliau meninggalkan Warisan kerana parti itu telah tersasar daripada landasan sebenar iaitu memperjuangkan rakyat Sabah selepas ia berkembang ke Semenanjung. ADUN Limbahau Juil Nuatim turut meninggalkan Warisan untuk menyertai Anthony.

Sementara itu, Anthony turut menerima borang permohonan daripada lebih 1,000 orang, dari DUN Sepanggar, yang ingin menyertai KDM. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *