KENINGAU: Penduduk yang berada berhampiran sepanjang Sungai Bariawa, di sini, dinasihatkan supaya tidak menggunakan air sungai yang tercemar akibat tumpahan gam papan lapis.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, tumpahan berkenaan berlaku akibat kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan di Simpang Bariawa, di sini, jam 11.40 malam tadi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan lori jenis Treler Shacman yang bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kilang Plywood Kosinar Sook, Keningau.
“Lori berkenaan hilang kawalan ketika menuruni bukit lalu terbabas ke bahu kiri sebelum terlanggar tebing bukit menghampiri simpang Jalan Bariawa.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan namun kemalangan mengakibatkan muatan gam masuk ke kawasan aliran sungai kecil di Kampung Bariawa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nor Rafidah berkata, pasukan dari Jabatan Kesihatan Keningau dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melawat tempat kejadian dan mengambil sampel air sungai untuk ujian.
Katanya, laporan lanjut akan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya.
“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang aktiviti di sungai berkenaan yang disyaki tercemar. Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59,” katanya. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost