Pemandu Bas Dihukum Penjara 7 Tahun

Jamal Lukman di Mahkamah Tinggi di Tawau, hari ini.

TAWAU: Seorang pemandu bas dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, kerana terbabit kegiatan penyeludupan migran pada tahun lalu.

Hakim Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamal Lukman, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Hukuman berkuat kuasa bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Ogos tahun lalu.

Hock Leng ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah memandang serius kesalahan dilakukan tertuduh, dengan mengambil kira faktor kepentingan dan keselamatan awam berikutan dua daripada migran terbabit didapati positif COVID-19.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membawa tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, termasuk dua kanak-kanak berumur antara empat hingga 46 tahun, yang cuba diseludup keluar ke negara asal menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekatan jalan raya ESSCOM di Kilometer 143.5 Jalan Sapulut-Kalabakan, jam 9.30 pagi 11 Ogos tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) yang boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Mohamad Arif Aizuddin Masrom, manakala tertuduh diwakili peguam, Raymond Guok.

Terdahulu dalam rayuan, Raymond memohon anak guam dikenakan hukuman ringan memandangkan ia kesalahan pertama tertuduh, selain sudah insaf dan menyesal atas perbuatannya.

Selain itu, beliau berkata, anak guamnya juga terpaksa menanggung seorang isteri bersama tiga anak berumur antara sembilan bulan hingga sembilan tahun. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *