Varian Omicron Cetus Kluster Baharu Di Labuan

LABUAN: Jumlah kes baharu membabitkan varian Omicron yang mencetuskan kluster OKK Awang Besar Saudi di sini, meningkat daripada 13 kepada 18 kes setakat semalam, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata, pihaknya kini bersiap sedia sepenuhnya untuk kemungkinan berlaku lonjakan kes baharu membabitkan varian itu, di samping menggesa orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan mengelak orang ramai dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Jumlah kes Covid-19 bertambah berikutan kemunculan kluster baharu ini, dan kami juga menjangkakan peningkatan kes dalam beberapa hari akan datang.

“Jangkaan peningkatan kes bukan sahaja disebabkan daripada kemasukan pengembara, tetapi kemungkinan besar juga daripada kalangan pelajar memandangkan sesi persekolahan dibuka semula minggu depan.

“Berikutan itu, kami memutuskan untuk membekukan cuti tahunan petugas kesihatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, menurut Dr Ismuni, seorang pelajar berasal dari Sabah di Kolej Matrikulasi Labuan yang dijadual memulakan semester baharu dikesan positif Covid-19 beberapa hari lalu.

“Pelajar berkenaan menjalani kuarantin dalam bilik, dan kami sentiasa memantau keadaan kesihatannya serta kemungkinan berlaku jangkitan dalam kalangan pelajar lain,” katanya.

Dr Ismuni berkata, selepas kejayaan mengekang wabak itu, Labuan menyaksikan trend yang masih turun naik bagi kes baharu Covid-19, dengan merekodkan dua digit kes baharu pada 2 Januari, sebelum turun kepada dua dan lima kes masing-masing pada 3 dan 4 Januari, kemudian meningkat semula kepada 15 kes pada 5 Januari dan 20 kes semalam.

“Daripada 20 kes yang kami laporkan semalam (6 Januari), 18 kes adalah daripada dua keluarga yang pulang dari Kelantan dan Sabah, ini menunjukkan pematuhan SOP semakin diambil ringan,” katanya.

Menurutnya sehubungan itu, petugas kesihatan (unit penguatkuasaan) ditugaskan untuk meningkatkan pemantauan terhadap pematuhan SOP, terutama di premis makanan dan minuman.

“Semua orang tidak akan terlepas daripada kompaun sekiranya didapati melanggar SOP kerana kami bukan sahaja menyasarkan pengusaha premis perniagaan, tetapi juga individu (pelawat dan pelanggan),” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *