PGA Sabah Rampas 64,000 Liter Diesel

Antara lori tangki yang dirampas dalam operasi berkenaan.  – Foto PGA

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah menumpaskan aktiviti penyelewengan 64,000 liter minyak diesel dalam serbuan di jeti nelayan Kampung Nelayan, Batu Putih, Sandakan, kelmarin.

Dalam operasi bersepadu kira-kira 9 malam itu, semua minyak diesel bersubsidi dan lori tangki yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.08 juta.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, serbuan dijalankan pasukan Tiger Platoon Batalion 15 bersama pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Operasi Cegah Pati (OCP) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ESSCOM.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemukan dua lori tangki dan tangki yang berisi keseluruhan 64,000 liter minyak diesel bersubsidi.

“Dalam operasi itu, pasukan operasi turut menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyelewengan berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.

“Turut disita, dua lori tangki bersama beberapa peralatan pam minyak untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam pemeriksaan dan serbuan itu mendapati telah disyaki berlaku penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Semua barangan rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.08 juta.

“Kes diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *