Projek Empangan Papar Diteruskan, Kajian Dimulakan Tahun Depan

Pembinaan Empangan Papar akan dilaksanakan di kawasan hulu Sungai Papar.

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan meneruskan Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 yang membabitkan pembinaan Empangan Papar sebagai langkah jangka panjang mengatasi isu kekurangan bekalan air yang sedang dialami pengguna di bandar raya ini.

Pengarahnya, Ir Edward Lingkapo, berkata projek yang akan dilaksanakan di kawasan hulu Sungai Papar di daerah Papar itu, dimulakan selepas selesai kajian lapangan yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

“Ketika ini kerajaan sedang dalam proses untuk melantik juruperunding bagi melaksanakan kajian berkenaan yang dijangka mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan.

“Selepas kajian itu selesai, kita pasti sudah ada cara atau halatuju bagaimana untuk melaksanakan projek berkenaan,” katanya pada sidang media khas isu gangguan bekalan air, di sini, semalam.

Projek bernilai RM3 bilion itu dicadangkan sejak 2010 namun ditangguhkan berikutan bantahan pelbagai pihak, terutama penduduk di kawasan hulu Sungai Papar yang bimbang kehilangan tanah hak adat anak negeri (NCR) selain pembinaannya didakwa boleh merosakkan alam sekitar.

Apabila siap, empangan itu akan menenggelamkan sebahagian hutan simpan dan kawasan Taman-Taman Sabah di Banjaran Crocker.

Pelaksanaan projek berkenaan adalah fasa akhir rancangan bekalan air untuk kawasan Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya dengan jangka hayat operasi empangan untuk memenuhi keperluan penduduk boleh bertahan sehingga 100 tahun.

Edward berkata, masalah gangguan bekalan air yang serius di kawasan utara Kota Kinabalu ketika ini mungkin tidak berlaku jika tiada bantahan terhadap projek itu ketika kajian pertama dilaksanakan pada 2010.

“Ia sepatutnya mula dilaksanakan pada 2010 tetapi disebabkan bantahan, kita buang masa selama 12 tahun. Jika sebelum ini berjalan lancar, ia sepatutnya sudah siap lima tahun lalu,” katanya.

Ketika ini, lebih 30,000 pengguna berdaftar di Kota Kinabalu, terutama di kawasan utara bandar raya atau Sepanggar dan sekitarnya berdepan kekurangan bekalan air, berikutan kapasiti terhad Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 1 dan Telibong 2 di Tuaran yang menyalurkan bekalan ke kawasan terbabit. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *