Warisan Akan Heret ADUN Sindumin Ke Mahkamah

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan mengambil mengheret Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob ke mahkamah susulan tindakannya keluar daripada parti semalam.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (gambar) berkata, mana-mana wakil rakyat Warisan yang keluar daripada parti akan diheret ke mahkamah.

Perbuatan keluar daripada parti ini bertentangan dengan surat taat setia yang ditandatangani semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, surat taat setia yang ditandatangani oleh ADUN Sindumin semasa PRN Sabah masih ada dalam simpanan parti dan ia akan digunakan untuk tindakan susulan.

“Saya belum nampak surat peletakan jawatan yang menyatakan dia (Yusof) keluar daripada parti. Sebelum ini, dia tidak pernah maklumkan kepada saya ingin keluar parti. Semalam, apabila saya kembali dari Kuala Lumpur dan nampak berita lalu bertanya kepadanya baru dia menyatakan dia keluar parti.

“Dalam laporan berita, dia turut menyatakan mendapat keredaan daripada saya, itu tidak benar. Tiada mana-mana presiden parti yang meredakan wakil rakyatnya keluar daripada parti.

“Mana-mana wakil rakyat Warisan yang keluar, kita akan heret mereka ke mahkamah,” katanya semasa sidang media hari ini.

Menurut beliau, tidak bermakna sebagai pembangkang, mereka tidak boleh berkhidmat kepada rakyat kerana semasa pandemik Covid-19 ini, Warisan turut memberi bantuan bakul makanan kepada rakyat yang terkesan.

Mohd. Shafie berkata, keputusan yang diambil itu demi kepentingan peribadi kerana di peringkat parti, Yusof dilantik sebagai Ketua Penerangan dan pernah menyandang jawatan menteri semasa Warisan Plus memerintah.

Mengulas lanjut katanya, tindakan ADUN Sindumin itu keluar parti bagi menjadi ADUN Bebas tidak akan memberi kesan yang teruk kepada Warisan.

Sebelum ini, tindakan mahkamah turut diambil terhadap ADUN Sebatik, Hassan A. Gani Pg Amir kerana keluar daripada Warisan pada 23 Februari lalu.

Mengikut ikrar setia yang ditandatangai wakil rakyat Warisan semasa PRN Sabah, semua wakil rakyat Warisan perlu meletak jawatan sebagai ADUN sekiranya mereka bertindak keluar parti.

Dalam sidang media itu, 18 ADUN Warisan turut hadir sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan Mohd. Shafie. Hanya dua ADUN iaitu ADUN Sekong, Alias Sani yang berada di kawasan dan ADUN Moyog, Datuk Darell Leiking menghadiri sidang Parlimen. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *