Lelaki Ambil Pukat Dikhuatiri Lemas Di Sungai Padas

Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Sungai Padas, petang tadi. – Foto BOMBA

TENOM: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai hilang di Sungai Padas, berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Tomani, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 25 tahun dikatakan cuba mengambil pukat sebelum disedari hilang kira-kira jam 1 petang.

Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu terus menghubungi pihak berkuasa menerusi MERS999 bagi mendapatkan bantuan segera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.08 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terbabit.

“Pasukan penyelamat melakukan operasi pencarian secara ‘surface rescue’ menggunakan bot penyelamat Aluminiun sejauh 600 meter.

“Selain itu, operasi pencarian juga menyusuri tebing Sungai Padas sejauh satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas,”’katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, setakat ini mangsa yang dikenali sebagai Zalitun, belum ditemui dan operasi SAR terpaksa ditangguhkan jam 5.37 petang tadi berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

“Operasi SAR akan diteruskan pada hari esok di sekitar kawasan mangsa dilaporkan memukat ikan,”katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *