KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang di Kudat, Sabah akan ditamatkan esok mengikut jadual.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu diambil selepas penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati situasi COVID-19 di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal.
“KKM melaksanakan 3,084 ujian saringan dan sebanyak 345 kes kumulatif positif COVID-19 direkodkan di ketiga-tiga lokaliti itu.
“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di lokaliti terbabit esok sebagaimana dijadualkan.
“Bagaimanapun, semua penduduk terbabit masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh Sabah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost