KUNAK: Polis menahan enam lelaki termasuk tiga beranak selepas didakwa terbabit dalam penyalahgunaan dadah di dua lokasi di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Baharin Md. Tahir berkata, semua suspek ditahan secara berasingan bermula semalam sehingga awal pagi tadi.
“Tangkapan pertama membabitkan seorang buruh lelaki, 49, warga Filipina, pada pukul 3.30 petang semalam di tepi jalan, ladang kelapa sawit Pangi, Jalan Kunak-Semporna.
“Suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun gagal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan dilakukan, polis menemukan enam plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 6.16 gram dianggarkan bernilai lebih RM900.
“Ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah yang sama.
“Selain itu, dalam operasi seterusnya, polis turut menahan dua lelaki warga Filipina juga didapati positif dadah di lokasi berasingan,” katanya.
Dalam masa sama katanya, polis turut menyerbu sebuah rumah di Kunak Jaya selepas menerima maklumat berhubung kegiatan penagihan dadah, pada pukul 1 pagi tadi.
“Tiga beranak ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan dua anaknya selepas ujian air kencing menunjukkan positif kandungan dadah.
“Sehubungan itu, polis menahan semua suspek berusia 20 hingga 55 tahun itu untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
BorneoToday