Penjawat Awam Mesti Setia Kepada Kerajaan Memerintah

KOTA KINABALU: Tokoh pentadbir negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid meningatkan setiap penjawat awam agar setia kepada mana-mana kerajaan yang memerintah dan memastikan setiap dasar baharu dilaksanakan dengan baik tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi atau fahaman politik.

Katanya, penjawat awam juga mesti mampu membawa diri dan menjalin hubungan yang baik dengan sesiapa sahaja yang bakal menjadi ketua mereka dalam pentadbiran baharu.

Beliau berkata, perkara tersebut merupakan kunci kepada kecemerlangan perkhidmatan awam yang berpaksikan kepada tiga karakter iaitu institusi yang kekal, berkecuali dan perkhidmatan terbaik sepanjang masa.

“Tradisi ini telah memberikan kestabilan kepada negara. Perkara penting adalah kakitangan awam perlu berkhidmat untuk memberikan keyakinan kepada kerajaan dan menjalin hubungan baik dengan sesiapa sahaja mereka perlu patuhi dalam pentadbiran akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalamannya sebagai kakitangan awam termasuk pernah menjadi Ketua Setiausaha Negara sempena Program ‘ Sharing Wisdom’ Persidangan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah tahun 2019 di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

Persidangan itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Apdal. Yang turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.

Ahmad Sarji berkata, kesetiaan kakitangan awam kepada pemimpin pula tidak boleh secara melulu sebaliknya mereka perlu berani menegur jika mendapati hala tuju sesuatu kementerian atau pentadbiran terpesong.

“Untuk memastikan kerja mereka dilakukan dengan berkesan, kakitangan awam mesti berani menasihatkan menteri mengikut gerak hati dan pandangan mereka terhadap sesuatu kes tanpa rasa takut.

“Sama ada nasihat itu diambil tindakan atau tidak terpulang kepada menteri berkenaan, namun apabila keputusan telah dibuat, maka itu tanggungjawab kakitangan awam tanpa ragu-ragu untuk memberikan kerjasama sepenuh hati untuk melaksanakannya,” jelas beliau.

Tegas Ahamd Sarji, kakitangan awam juga perlu amanah dalam pentadbiran dan menjadi pemberi maklumat sekiranya melihat ada pelanggaran terhadap undang-undang sedang berlaku.

“Apabila pegawai tidak amanah, tentulah banyak ummah menyanggah, air tersingkap malu terdedah, kapal pun karam tiangnya pecah,” jelas beliau.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *