Pesakit Buah Pinggang Dapat Manfaat Kereta Percuma Ke Hospital Sandakan

Kererta Perodua Kenari milik Mohamad Kadir Abd Jalil yang digunakan untuk perkhidmatan kereta percuma ke hospital, di Sandakan. NSTP/Ihsan Mohamad Kadir Abdul Jalil.

SANDAKAN: Mengambil dan menghantar pesakit untuk menjalani rawatan dialisis di Hospital Duchess of Kent, di sini bagaikan sudah menjadi tanggungjawab bagi seorang pemuda, Mohamad Kadir Abd Jalil, 23, sejak lima bulan lalu.

Kereta Kenari Mohamad Kadir Abdul Jalil, 23, menyediakan perkhidmatan membawa pesakit ke Hospital secara percuma. – Foto Media Sosial

Sejak Januari lalu, empat pesakit buah pinggang menjadi penumpang tetap kereta percuma ke hospital dikendalikan Mohamad Kadir dan menggunakan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu perkhidmatan ditawarkan pemuda itu untuk ke hospital bagi menjalani proses cuci darah.

Mohamad Kadir berkata, mereka antara pesakit yang kerap menggunakan perkhidmatannya, selain mereka yang lumpuh dan kanak-kanak daripada keluarga miskin yang diserang demam panas.

Katanya, beliau berpuas hati dapat membantu penduduk miskin yang memerlukan bantuan mengambil dan menghantar pesakit ke hospital menggunakan kereta Perodua Kenari biarpun kerja terbabit tidak bergaji.

“Paling jauh setakat ini saya pernah ambil dan hantar pesakit adalah di Batu 24, Sandakan atau kira-kira 40 kilometer dari bandar. Jumlah pesakit yang guna kereta percuma lingkungan tiga hingga lima orang sehari tanpa mengira waktu.

“Cabaran saya sekarang apabila ramai yang minta bantuan untuk ke hospital, tapi tidak semua dapat dipenuhi kerana kereta sering rosak dan kapasiti kecil,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Perkhidmatan disediakan Mohamad Kadir itu adalah yang kedua di daerah ini selepas inisiatif yang dimulakan sukarelawan, Yunizam Yusop, pada tahun lalu.

Bercerita lebih lanjut, Mohamad Kadir berkata, beliau mengambil inspirasi daripada Yunizam yang turut dikenali penduduk daerah ini sebagai ‘abam botak’ dan seorang lagi rakan yang turut menyediakan perkhidmatan sama di Negeri Sembilan.

Katanya, beliau turut menerima bantuan disalurkan orang awam untuk menanggung kos perkhidmatan itu termasuk minyak dan kerosakan kereta.

“Perkhidmatan ditawarkan ‘abam botak’ sekarang tidak mencukupi untuk menampung permintaan pesakit. Atas sebab itu, saya turut mengambil langkah yang sama.

“Biarpun ia usaha murni, saya tidak dapat lari daripada cemuhan orang. Alhamdulillah, ada sesetengah orang berpandangan positif dan menyokong apa yang saya lakukan sekarang,” katanya.

Mohamad Kadir berkata, mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan kereta percuma ke hospital boleh menghubunginya menerusi talian 0109417284.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *