Azam Untuk Bantu Golongan Miskin Di Sabah Dilaksanakan Bulan Ini

KOTA KINABALU, 11 Jun – Kementarian Pertanian dan Industri Makanan Sabah akan melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan (Azam) yang memberi peluang golongan berpendapatan rendah menyertai latihan kemahiran sebelum diberikan modal untuk memulakan perniagaan, bermula bulan ini.

Menterinya Datuk Junz Wong berkata Azam akan membantu golongan tersebut menjana pendapatan bagi memastikan tahap kehidupan sosial dan ekonomi mereka meningkat.

“Kita harap kumpulan sasar yg tersenarai dalam sistem e-kasih akan mampu berdikari dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Junz berkata, Azam bertujuan untuk menyediakan peluang kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah bagi menjana pendapatan serta memperkasa kumpulan sasar.

Beliau berkata melalui Azam, kumpulan sasar akan menyertai latihan dan akan menerima peralatan yang berkaitan setelah tamat kursus singkat bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti ekonomi.

“Kerajaan sangat komited untuk membangunkan negeri Sabah dan yakin dalam masa terdekat kita akan dapat rancakkan pembangunan ekonomi di negeri ini. Kita mahu agar semua rakyat akan dapat menikmati kesejahteraan hidup dalam suasana aman dan damai,” tambahnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *