Laina Pulihara Warisan Perubatan Tradisi Kadazandusun

Laina Ebit menunjukkan herba lintotobou (ficus septica) dan herba solinatad yang dihasilkan. NSTP/Ihsan Laina Ebit.

KOTA KINABALU: Permintaan tinggi terhadap herba bagi tujuan perubatan tradisional mendorong usahawan tani, Laina Ebit, 52, menanam sendiri sebahagian tumbuhan yang digunakan bagi penghasilan herba berkenaan.

Ibu kepada lima cahaya mata itu, berkata sebelum ini beliau terpaksa masuk keluar hutan untuk mencari bahan yang digunakan membuat herba untuk perubatan tradisional itu.

Berkecimpung dalam pembuatan herba sejak 11 tahun lalu, beliau menjelaskan mandian herba antara produk yang mendapat permintaan ramai, selain air minuman akar Lintotobou atau nama saintifiknya, ficus septica.

“Disebabkan sambutan menggalakkan terhadap produik berasaskan bahan asli ini, saya menanam tujuh herba yang digunakan untuk membuat ubat tradisional itu di kawasan rumah.

“Saya juga mendapat bekalan bahan daripada penduduk kampung. Jika sebelum ini saya perlu masuk keluar hutan, tetapi dengan adanya bekalan daripada penduduk kampung, ia lebih memudahkan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Antara tujuh tumbuhan herba yang ditanam di kawasan rumahnya ialah Kemburongo (jerangau/acorus columus), daun sirih hutan, tawawo, daun limau, Lintotobou dan serai wangi.

Produk mandian tujuh herba itu mempunyai pelbagai kegunaan antaranya buang angin dalam badan, menyegarkan badan yang lesu, merawat penyakit kulit gatal, sengal badan, mandian untuk ibu selepas bersalin, meeningkatkan kualiti tidur dan merawat masalah ubat saraf.

Laina yang tinggal di Kampung Sunsuron, Tambunan, berkata beliau mewarisi kepandaian membuat herba itu daripada ibunya yang juga seorang bidan kampung dan pengamal perubatan tradisional.

“Saya mewarisi kemahiran ibu (yang meninggal pada 2003) sebagai pengamal perubatan tradisional. Sekarang anak-anak saya turut mewarisi dan minat dalam bidang herba. Hasil jualan herba ini turut membantu perbelanjaan keluarga kami.

“Diharapkan amalan perubatan tradisional Kadazandusun ini dapat dipulihara untuk generasi masa depan, kekal relevan dengan perkembangan semasa dan tidak pupus begitu sahaja,” katanya yang juga seorang penjawat awam.

Laina yang juga Penolong Setiausaha Persatuan Penanam Herba dan Pengamal Perubatan Tradisional Borneo Utara, turut gembira kerana herba dihasilkannya menjadi produk kepada pengusaha inap desa di Kampung Sunsuron.

Sementara itu, hasil usaha Laina lebih 10 tahun lalu, dia telah menjadi pemenang untuk Anugerah Sabah Got Idea 2011 bagi produk mandian herba dan menjadi pemenang hadiah Inovasi Awam 2014 untuk akar Lintotobou. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *