49 PTI Ditahan Dalam Operasi Imigresen di Sandakan

Antara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi berkenaan.

SANDAKAN: Seramai 49 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan di sekitar daerah ini, Jumaat lalu.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi bersepadu itu dijalankan di tiga lokasi berasingan dengan kekuatan 28 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Sandakan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas 95 individu, seramai 49 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Daripada jumlah itu, 13 lelaki dewasa, 15 perempuan dewasa, 14 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan melibatkan warga Filipina, Indonesia dan Pakistan.

“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua individu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI di negeri ini.

“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PTI,” tegasnya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *