
KOTA KINABALU: Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan UMS berhadapan Mini Putrajaya, di sini, awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah sedan dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun dan motosikal yang dinaiki dua mangsa.
“Kereta berkenaan bergerak dari arah Sepanggar menuju ke Alam Mesra sebelum membuat pusingan U di lampu isyarat Mini Putrajaya dan meneruskan perjalanan di lorong tengah.
“Secara tiba-tiba, sebuah motosikal yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh di lorong tengah manakala pembonceng tercampak ke bahu kiri jalan.
“Identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan usaha mengesan waris sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan kedua-dua kenderaan terlibat sudah ditahan bagi pemeriksaan lanjut oleh polis serta agensi berkaitan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Penunggang motosikal juga diingatkan supaya tidak menunggang secara berbahaya atau berkumpulan dalam keadaan laju yang boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah