
TAWAU: Aduan seorang remaja perempuan yang mengalami kesakitan di bahagian kemaluan membawa kepada pendedahan mengejutkan apabila dia disahkan hamil, sekali gus membongkar kes rogol membabitkan tiga lelaki warga asing.
Dalam kejadian itu, mangsa dibawa kakaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum pemeriksaan doktor mengesahkan remaja itu mengandung.
Susulan itu, laporan polis dibuat selepas mangsa mengakui pernah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki yang dikenalinya di sebuah hotel.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau menjalankan operasi mengesan suspek.
“Polis berjaya menahan dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an di tepi jalan Jalan St Patrick kerana disyaki terbabit dalam kes ini.
“Hasil penahanan itu membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki warga asing berusia 29 tahun di hadapan sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas yang bekerja sebagai buruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semakan rekod mendapati semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah seksual terutama membabitkan remaja,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah