
SANDAKAN: Seorang lelaki ditahan dalam Op Samseng Jalanan (Motosikal) yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, operasi berkenaan membabitkan seorang pegawai kanan bersama sembilan anggota BSPT yang menjalankan pemantauan di beberapa lokasi tumpuan sekitar daerah ini.
Menurutnya, dalam operasi tersebut, sebuah motosikal turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain itu, sebanyak 11 motosikal lagi ditahan di bawah Seksyen 60 akta sama, manakala 37 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan menyeluruh dilakukan ke atas pengguna jalan raya bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta mengesan sebarang pelanggaran lain.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan sebagai usaha membanteras kegiatan samseng jalanan, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna lain.
“Pematuhan terhadap peraturan lalu lintas amat penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah