
PENAMPANG: Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dengan kes curi dalam premis membabitkan beberapa kedai emas di daerah ini dan Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superitendan Sammy Newton, berkata suspek berusia 45 tahun itu ditahan hasil tindakan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Katanya, tangkapan dibuat pada 31 Mac kira-kira jam 1 tengah hari di sebuah bangunan komersial di Kota Kinabalu selepas pihak polis menerima maklumat keberadaan suspek.
“Hasil siasatan lanjut, polis merampas enam utas gelang tangan emas pelbagai saiz yang dianggarkan bernilai RM50,000 mengikut harga pasaran.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan, telefon bimbit, pakaian serta beberapa dokumen bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau berkata, hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa kesalahan lampau berkaitan jenayah harta benda selain penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan bagi kesalahan berulang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau mencurigakan kepada pihak polis.
“Kerjasama masyarakat penting dalam membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah