Suspek Dakwa Adik ‘Mengumpat’ Sebelum Lepaskan Tembakan – Polis

Lokasi kedua-dua rumah suspek dan mangsa yang terletak bersebelahan.

TENOM: Punca seorang lelaki menembak adik kandungnya hingga maut dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, di sini dipercayai berpunca daripada pertikaian keluarga.

Suspek dipercayai marah selepas mendakwa mendengar mangsa bersama isterinya bercakap buruk mengenainya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun meninggal dunia di lokasi selepas terkena tembakan yang dilepaskan suspek dari rumah bersebelahan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental sejak sekian lama, terutama selepas melalui episod perceraian.

Katanya, keadaan itu turut memberi kesan apabila salah seorang anak perempuan suspek dipelihara oleh mangsa.

“Pada pagi kejadian, suspek naik angin selepas menuduh mangsa bersama isterinya bercakap buruk mengenai dirinya di hadapan rumah mangsa yang boleh didengari dari kediamannya.

“Suspek kemudian bertindak agresif dengan menetak pokok buah naga milik mangsa menggunakan parang sebelum mengambil senjata api buatan sendiri jenis bakakuk,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, suspek dipercayai melepaskan tembakan dari tingkap rumahnya ke arah mangsa sehingga menyebabkan kematian di tempat kejadian.

Azmir berkata, pasukan forensik menjalankan siasatan di lokasi dan merampas beberapa barangan kes termasuk senjata bakakuk, peluru serta kelongsong peluru untuk dianalisis.

Katanya, pegawai penyiasat turut giat mengambil keterangan daripada semua saksi bagi membantu siasatan.

“Antara yang dirakam percakapan termasuk isteri mangsa, anak suspek yang dipelihara mangsa serta beberapa saksi dalam kalangan anggota polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu, suspek berusia 57 tahun dilaporkan ditembak polis selepas enggan menyerah diri dan bertindak mengancam keselamatan anggota yang berada di lokasi.

Siasatan lanjut masih diteruskan.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *