
RANAU: Taktik dua lelaki menjadikan kediaman di Kampung Bongkud, di sini, sebagai lokasi memproses dan menjual daun serta air ketum terbongkar apabila diberkas dalam dua serbuan berasingan, semalam.
Dalam serbuan pertama kira-kira jam 2 petang, lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama satu karung guni berisi daun ketum seberat 1.4 kilogram.
Turut dirampas sebuah tong gas dan dapur masak yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan.
Tidak sampai sejam kemudian, kira-kira jam 3 petang, seorang lagi lelaki berusia 49 tahun diberkas dalam serbuan kedua.
Polis menemukan 18 botol plastik berkapasiti 1.5 liter berisi cecair disyaki air ketum yang disimpan di dalam peti sejuk.
Selain itu, sebuah tong gas dan dapur masak turut dirampas bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kedua-dua tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang diketuai Inspektor Abdul Fatah Qasim.
“Pengambilan dan pemprosesan cecair ketum adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras aktiviti penjualan dan pemprosesan ketum yang menyalahi undang-undang demi memastikan kesejahteraan masyarakat di daerah ini.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah