
TAWAU: Tindakan seorang lelaki menghantar pesanan suara berbaur ugutan melalui aplikasi WhatsApp memakan diri apabila dia diberkas polis dalam serbuan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira waktu mangsa berada di Hospital Tawau, lelaki berkenaan yang dikenali mangsa dipercayai menghantar mesej suara menuntut sejumlah wang.
Difahamkan, suspek bertindak demikian selepas mangsa enggan memenuhi permintaannya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, mangsa tampil membuat laporan polis susulan menerima ugutan terbabit.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menjalankan risikan sebelum menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas.
“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 42 tahun yang bekerja sebagai buruh kerana disyaki terbabit dalam kes ugutan berkenaan.
“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang bentuk ugutan atau pemerasan dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa jika berdepan situasi sama.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah