Syabu RM1.28 Juta Dirampas Di Kondominium Penampang

Sammy (tengah) menunjukkan bekalan dadah yang dirampas dalam operasi berkenaan.

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 25,744.37 gram dengan nilai anggaran RM1,287,218.50 dalam satu operasi di lobi sebuah kondominium di daerah ini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superitendan Sammy Newton berkata, operasi pada 23 Februari itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) hasil maklumat awam dan risikan pihak polis.

“Hasil pemeriksaan terhadap empat kotak menemukan 24 paket plastik lut sinar berisi ketulan hablur disyaki methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan serta menahan individu yang terlibat selain membongkar rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam dengan maklumat yang disalurkan sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan.

“Orang ramai digesa terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah bagi memastikan daerah ini kekal selamat dan bebas daripada ancaman dadah,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *