Warga Asing Dilarang Beli Minyak Masak Paket Subsidi Mulai 1 Mac Ini – Armizan

Armizan

KUALA LUMPUR: Warga asing akan dilarang membeli minyak masak bersubsidi mulai 1 Mac ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, larangan itu dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.

Armizan memaklumkan, pihaknya kini sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara berhubung pelaksanaan itu.

“Jika sebelum ini, melalui penguatkuasaan undang-undang, ada pihak menggesa supaya dilarang penjualan dan pembelian oleh warga asing, namun premis peruncitan membangkitkan isu praktikal… bagaimana prosedur operasi standard (SOP), penguatkuasaan dan pemantauan.

“Jadi, dengan adanya larangan ini, kita dapat memastikan subsidi itu akan dimanfaatkan oleh warganegara dan tidak dibuka ruang itu kepada warga asing,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Aplikasi eCOSS, kuota 3 paket setiap ahli isi rumah

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai keperluan kuota tambahan kepada keluarga miskin yang besar kerana had kuota sedia ada dalam Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), selain sama ada kerajaan bercadang untuk mengintegrasikan eCOSS dengan aplikasi berkaitan lain.

Mengulas lanjut, Armizan menjelaskan buat masa ini, KPDN tidak menetapkan kuota pembelian dalam konteks isi rumah di bawah eCOSS, yang mana had pembelian ditetapkan tiga paket bagi setiap ahli isi rumah.

“Jika ada isi rumah yang memerlukan lebih, kita tidak hadkan oleh anak, isteri, bapa untuk membeli. Jadi, tidak ada isu berbangkit jika ada keperluan tambahan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai faktor penyelewengan minyak bersubsidi yang terus berleluasa, Armizan berkata ia antara lain berpunca daripada ketiadaan satu sistem yang memantau rekod pembelian minyak masak oleh individu sebelum ini.

“Selain itu, salah satu faktor lagi adalah pembelian minyak masak terpakai, yang harganya sekarang adalah RM4 per kilogram (kg), sedangkan kita menjual minyak masak bersubsidi pada harga RM2.50.

“Jadi, maksudnya dengan membeli minyak masak paket, dicampur aduk dan dijual sebagai minyak masak terpakai pun sudah boleh untung RM1.50,” katanya.

Urus risiko ketirisan

Justeru katanya, selain meningkatkan penguatkuasaan, mekanisme pengurusan risiko ketirisan diperlukan dan eCOSS serta aplikasi eCOSS yang diperkenalkan kerajaan adalah pengurusan risiko ketirisan, yang membolehkan penguatkuasaan bersandarkan kepada sistem dan mekanisme.

Beliau memaklumkan, sejak Mei 2025, sistem eCOSS berjaya merekodkan penjualan lebih 20 juta paket minyak masak bersubsidi dalam kalangan warganegara.

“Sekurang-kurangnya kita sudah ada data siapakah yang membeli minyak masak paket ini dan hala tuju program ini juga dapat kita tentukan bersandarkan kepada keputusan yang dipacu data.

“Itulah matlamat kita untuk memastikan subsidi dengan aplikasi kewangan yang cukup besar ini akan dapat diteruskan dan benar-benar memanfaatkan rakyat,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *