Pelajar Perempuan 17 Tahun dan Kekasih Ditemui Mati Dalam Kereta di Sandakan

Lokasi kedua-dua mangsa ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah kereta.

SANDAKAN: Misteri kehilangan seorang pelajar perempuan berakhir tragis apabila remaja itu ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta bersama seorang remaja lelaki dipercayai kekasihnya di kawasan parkir Bandar Sejati Walk, di sini, Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa perempuan berusia 17 tahun dan lelaki berusia 18 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di bahagian penumpang belakang sebuah kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, K Ramasamy berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sebelum sepasukan anggota polis bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati semua tingkap kenderaan tertutup rapat dan berkunci, selain barangan berharga milik kedua-dua mangsa masih berada di dalam kereta.

“Siasatan awal mendapati mangsa lelaki keluar dari rumahnya pada Jumaat lalu untuk bertemu pelajar perempuan berkenaan sebelum kedua-duanya gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, bapa mangsa lelaki kemudian mengesan kereta miliknya di kawasan parkir itu sebelum membuka pintu menggunakan kunci pendua dan menemukan kedua-dua mangsa di dalam kenderaan berkenaan.

Tambahnya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *