Suami Isteri Maut Motosikal Bertembung 4×4 di Jalan Tamparuli – Ranau

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Kampung Kapa, Tamparuli di Jalan Tamparuli – Ranau.

TAMPARULI: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum tercampak ke dalam gaung dalam kemalangan di Jalan Tamparuli–Ranau, berhampiran Kampung Kapa, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, penunggang motosikal Yamaha 135LC, Mustofa, 44, warga Indonesia, dan isterinya, Nur Shilla Abdullah, 37, warga tempatan, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor yang dipandu seorang lelaki dari arah Ranau menuju Kota Kinabalu cuba memintas kenderaan di hadapannya.

“Semasa memotong, kenderaan itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke dalam gaung dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, motosikal mangsa turut terseret di bawah pacuan empat roda berkenaan sebelum berhenti di bahu kanan jalan.

Pemandu pacuan empat roda terbabit dilaporkan mengalami kecederaan di tangan kanan manakala penumpangnya tidak cedera. Kedua-duanya dibawa ke Hospital Tuaran untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, mayat pasangan suami isteri berkenaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran bagi tujuan bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *