
SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan pacuan empat roda di Jalan Kampung Tampi-Tampi, di sini, kira-kira jam 3.50 petang, 1 Januari lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Dalam kejadian itu, bapa mangsa, adiknya serta seorang lagi lelaki yang turut berada di atas motosikal berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di hospital.
Seorang saksi kejadian, Nurshahidah Luis, 29, berkata dia berada di belakang motosikal berkenaan sebelum pelanggaran berlaku.
Menurutnya, sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang wanita dari arah bertentangan dipercayai sedang membelok masuk ke simpang Masjid Kampung Tampi-Tampi dan telah memasang lampu isyarat.
“Saya melihat kenderaan itu memperlahankan kenderaan, namun motosikal yang dinaiki mangsa masih memecut laju sebelum merempuh pacuan empat roda berkenaan,” katanya.
Nurshahidah berkata, dia sempat berhenti untuk melihat keadaan penunggang dan pembonceng motosikal terbabit sejurus kemalangan berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, motosikal yang dinaiki empat individu termasuk dua kanak-kanak itu melanggar pacuan empat roda ketika kenderaan tersebut sedang membelok ke simpang kanan jalan.
“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah