Hak Sabah Tidak Boleh Dirunding, Seiring Sarawak – Jeffrey

Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Sabah menegaskan pendirian tegas untuk berdiri seiring Sarawak dalam mempertahankan hak negeri ke atas tanah, dasar laut, subsoil dan pelantar benua yang disifatkan sebagai hak mutlak serta tidak boleh dirunding.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, hak berkenaan merupakan asas kedaulatan Sabah dalam Persekutuan dan syarat utama persetujuan pembentukan Malaysia, bukannya suatu pemberian atau konsesi sementara daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, hak itu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipadamkan secara unilateral melalui mana-mana undang-undang Parlimen, termasuk Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

“Sabah dan Sarawak berdiri atas landasan perlembagaan yang sama. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengiktiraf Sabah sebagai rakan setara dengan pemilikan mutlak ke atas wilayahnya.

“Hak itu wujud sebelum Hari Malaysia dan tidak pernah diserahkan melalui referendum awam atau sebarang resolusi Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas mengenai pengurusan sumber petroleum, Jeffrey berkata sebelum penggubalan PDA 1974, Sabah mempunyai kuasa penuh ke atas minyak dan gasnya.

Menurutnya, pada 1969 kerajaan negeri menandatangani perjanjian secara langsung dengan syarikat antarabangsa bagi aktiviti penerokaan dan pengeluaran petroleum dengan kadar royalti ditetapkan pada 12.5 peratus tanpa memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

“PDA 1974 diluluskan tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri dan tidak meminda Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, dakwaan bahawa akta itu memindahkan pemilikan minyak dan gas Sabah kepada Petronas adalah tidak tepat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa undang-undang Persekutuan tidak boleh mengatasi perlindungan perlembagaan ke atas tanah dan wilayah negeri.

Katanya, Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan bahawa sempadan negeri tidak boleh diubah tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri serta Majlis Raja-Raja.

“Pengambilalihan kawalan dasar laut dan subsoil tanpa persetujuan Sabah adalah bersamaan dengan perubahan sempadan negeri secara tersirat dan menjadikan pelaksanaan PDA di wilayah Sabah sebagai tidak berperlembagaan,” katanya.

Jeffrey berkata kesan penerimaan naratif itu amat besar apabila pada 1976 Sabah terpaksa menerima pengurangan royalti minyak kepada hanya lima peratus.

“Sedangkan ratusan bilion ringgit hasil dikeluarkan, Sabah hanya menerima bahagian yang kecil. Ini antara punca utama Sabah terus ketinggalan dari segi pembangunan walaupun kaya dengan sumber.

“Sabah dan Sarawak berkongsi takdir sebagai Blok Borneo dan perlu bergerak seiring dalam mempertahankan hak negeri serta kepentingan rakyat.

“Kami tidak mengancam Persekutuan, sebaliknya mahu memastikan Malaysia berfungsi sebagai sebuah perkongsian rakan setara seperti yang dipersetujui ketika pembentukannya,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *