
KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita warga China maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan sebuah hotel di Jalan Haji Saman, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia lingkungan 30-an dari Beijing itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas jatuh ke atas sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan bawah hotel berkenaan. Difahamkan, mangsa berada di Kota Kinabalu untuk bercuti bersama suaminya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 7 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Pemeriksaan awal mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden, dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai Sudden Death Report (SDR).
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah