Pelajar Tingkatan Dua Maut Ditembak Rakan Dengan Bakakuk Di Keningau

Suspek menunjukkan lokasi kejadian di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, Keningau.

KENINGAU: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain sembunyi-sembunyi bersama rakan di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun dikatakan bermain bersama seorang rakannya sebelum remaja terbabit secara tidak sengaja melepaskan tembakan dari jarak kira-kira tiga meter.

Mangsa yang mengalami 14 kesan tembakan pada badan rebah di lokasi sebelum dihantar penduduk kampung ke Hospital Keningau, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata siasatan awal mendapati rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun ternampak mangsa memegang bakakuk di hadapan rumah sebelum meminta senjata berkenaan untuk bergurau.

“Ketika bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah sebelum suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Suspek panik lalu meminta bantuan orang kampung yang kebetulan melintas sebelum mangsa dibawa ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan doktor mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh mangsa termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan.

Menurutnya, siasatan mendapati senjata itu disorokkan seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun, yang juga adik suspek, manakala pemilik bakakuk berkenaan adalah bapa mereka, seorang warga emas berusia 70 tahun.

“Ketiga-tiga beranak itu ditahan untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *