
KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menegaskan bahawa mereka mempunyai formula untuk menangani masalah banjir yang terus menjejaskan penduduk di kawasan Luyang dan Likas, khususnya di Dah Yeh Likas.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, berkata banjir yang berulang sejak kebelakangan ini menunjukkan kurangnya tindakan daripada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas serta Ahli Parlimen kawasan itu.
Menurut Yong, kawasan tersebut pernah dilanda banjir besar pada 1988, namun kerajaan ketika itu melaksanakan projek mitigasi banjir dan membina stesen pam Likas, yang siap pada 1990. Sejak itu, kawasan Dah Yeh Villa bebas daripada banjir selama lebih tiga dekad.
“Penduduk masih mengekalkan benteng simen sebagai langkah pencegahan, tetapi selepas 35 tahun, banjir kembali berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persahabatan SAPP bersama Persatuan Wanita Cina.
Sebagai mantan ADUN Likas, beliau menjelaskan bahawa ketiadaan banjir selama bertahun-tahun sebelum ini adalah kerana semua wakil rakyat terdahulu menjalankan tanggungjawab memantau sistem pam, terutama ketika musim hujan.
Yong mendakwa banjir besar yang berlaku pada September lalu berpunca daripada pam yang rosak akibat kelemahan pengurusan dan pemantauan.
“Ini membuktikan bahawa Ahli Parlimen dan ADUN kawasan ini sejak kebelakangan ini tidak melaksanakan tugas mereka. Mereka hanya turun memeriksa keadaan pam selepas tiga hari banjir berlaku,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pemimpin kawasan yang tersalah lokasi semasa menyemak pam, apabila mereka memeriksa pam di Kampung Likas (Sungai Likas) yang tidak mengawal aliran ke Dah Yeh Villa.
Sehubungan itu, Yong menggesa pengundi di Likas dan Luyang memberi sokongan kepada calon SAPP pada PRU17 Sabah.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh calon SAPP DUN Luyang, Gee Tien Siong, dan calon SAPP DUN Likas, Yong Yit Jee.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah