
KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengumumkan Mohd Julpikar Ab Mijan sebagai calon rasmi AMANAH yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Semporna.
Pengumuman itu dibuat sempena Konvensyen AMANAH Negeri Sabah 2025 yang dirasmikan oleh Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini, hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Mohamad menyeru seluruh jentera AMANAH Sabah supaya memulakan kerja pilihan raya dari sekarang dan menggembleng tenaga secara tersusun bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17 (PRU DUN Sabah ke-17).
Beliau menegaskan bahawa PRU DUN kali ini menuntut kesungguhan tinggi dan perancangan strategik daripada setiap peringkat parti bagi memastikan AMANAH berjaya menembusi peta politik Sabah dan memperoleh kerusi sulungnya di negeri ini.
“PRU DUN Sabah nanti memerlukan kesungguhan dan gerak kerja yang tersusun dari setiap peringkat.
“AMANAH mesti berusaha keras untuk mendapatkan kerusi sulung kita di negeri ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua ahli agar mengekalkan perjuangan berasaskan nilai, integriti dan keberanian moral, bukan semata-mata mengejar kemenangan politik.
Calon yang diumumkan, Mohd Julpikar Ab Mijan, merupakan seorang pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat dari Semporna yang aktif dalam bidang pendidikan serta pembangunan komuniti.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah