PRN17 Sabah : STAR & SAPP Keluar GRS, Pilih Bertanding Guna Logo Sendiri

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) memutuskan keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan akan bertanding menggunakan lambang parti sendiri dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr  Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee membuat keputusan itu kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimuktamadkan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH). 

Kedua-dua presiden parti itu memaklumkan mengenai keputusan berkenaan pada Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di sini semalam.

Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam kenyataannya hari ini berkata, dengan keputusan dan tindakan itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS dengan sendirinya tamat.

“Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan-kawasan DUN yang juga bakal ditandingi oleh calon-calon dari PH,” katanya. 

Menurutnya, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (gagasan Rakyat) bersama presiden parti-parti komponen lain iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), dan Parti Cinta Sabah (PCS), menghormati keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo dalam PRN17. 

Masidi berkata, Presiden STAR dan Presiden SAPP turut menyatakan mereka menghormati pendirian parti-parti komponen lain yang memilih untuk terus kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH dalam menghadapi PRN yang akan datang. 

“Mesyuarat berlangsung dalam suasana penuh muhibah, mesra, ikhlas dan berterus terang. Semua pimpinan yang hadir akur dengan keputusan yang dibuat secara musyawarah, dan tetap meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi yang sihat dan matang. 

“GRS akan terus memperkasakan gerak kerja dan memantapkan strategi bagi menghadapi PRN17 dengan komitmen penuh kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri Sabah,” katanya. 

Beliau berkata, agenda utama mesyuarat yang berlangsung selama hampir dua jam itu adalah untuk membincangkan dan mengemas kini persiapan gerak kerja GRS dalam menghadapi PRN17 termasuklah rundingan agihan kerusi antara GRS dan PH.

Menurutnya, dalam mesyuarat itu, Hajiji turut mengingatkan semua parti komponen GRS perlu menghormati persetujuan kerjasama yang diumumkan bersama PH sebelum ini. 

“Beliau (Hajiji) turut menegaskan atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti, dengan semua calon GRS menggunakan lambang yang sama, iaitu lambang GRS, dalam menghadapi PRN17. 

“Setelah perbincangan secara terbuka dan ikhlas selama hampir dua jam, mesyuarat memutuskan mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing dianggap telah keluar daripada GRS.

“Sehubungan itu, calon-calon daripada parti terbabit tidak lagi mewakili GRS dalam PRN17,” jelasnya. 

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *