Azam Arah SPRM Sabah Siasat Pendedahan Video Babit Pemimpin Kanan Negeri Itu

Azam Baki

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, hari ini mengarahkan pegawainya di Sabah untuk segera membuka kertas siasatan terhadap video yang dikaitkan dengan pemimpin kanan negeri itu.

Azam ketika dihubungi BH berkata, beliau mengarahkan SPRM Sabah untuk menyiasat segera pendedahan yang didakwa dilakukan oleh seorang ahli perniagaan bernama Albert Tei.

“Ya saya sahkan SPRM untuk menjalankan siasatan itu, termasuklah memanggil mereka yang didakwa terbabit seperti yang digambarkan dalam video itu,” katanya, di sini hari ini.

Semalam, portal berita Malaysiakini mendedahkan satu video yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan Sabah.

Portal itu menyiarkan video pemimpin berkenaan didakwa menerima satu bayaran terbesar berjumlah lebih sejuta ringgit.

Mengulas lanjut, Azam berkata, beliau juga menegaskan siasatan akan dijalankan berdasarkan maklumat terbaharu (video) yang sudah didedahkan kepada pihak awam.

“Saya juga sudah mengarahkan kedua-dua individu yang terbabit dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan yang sedang berjalan.

“SPRM akan berusaha untuk menyelesaikan siasatan ini secepat mungkin dengan penuh teliti dan berintegriti,” katanya.

Beliau turut memberi komitmen SPRM akan menyiasat pendedahan itu dengan teliti dan profesional.

“Saya menggesa semua pihak dapat bersabar dan memberikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional.

“Sebarang spekulasi yang tidak berasas hanya akan mengganggu proses siasatan dan menjejaskan kepercayaan awam terhadap usaha pencegahan rasuah di negara ini.

“SPRM komited untuk menjalankan tugas secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang demi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.

SumbeR: Berita Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *