
KINABATANGAN: Mayat lelaki yang ditemukan di tepi sungai di Kampung Batu Putih di sini semalam disahkan sebagai Andi Abdul Ghani Kadir, 41, pengarah filem animasi terkenal – Ejen Ali.
Mayat Andi ditemui di tepi sungai berhampiran lokasi mangsa dipercayai hilang kelmarin, pada jam 11.25 pagi semalam.
Dalam kejadian petang kelmarin, Andi bersama isterinya berusia 33 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, kenderaan dipandu isterinya dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan Andi kemudian dikatakan keluar sebelum kali terakhir dilihat di jambatan sungai Kampung Batu Putih.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.03 petang kelmarin mengenai kejadian itu sebelum menghantar empat anggota ke lokasi kejadian.
“Jarak lokasi dengan balai bomba adalah sejauh 23 kilometer. Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sebelum ditangguhkan pada jam 6.52 petang dan disambung semula pagi tadi (semalam). Mangsa kemudian ditemui pasukan penyelamat di tepi sungai berhampiran lokasi dia dipercayai hilang,” katanya.
Semakan di media sosial mendapati ada netizen menjelaskan Andi dan isterinya dikatakan baru mendirikan rumah tangga pada 16 September lalu.
Filem animasi, Ejen Ali The Movie mula dikeluarkan pada 2019 terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation. Ia diadaptasi daripada siri animasi popular Ejen Ali yang mula ditayangkan pada 2016 di TV3 dan platform digital.
Sekuelnya, Ejen Ali The Movie 2 ditayangkan secara rasmi di pawagam Malaysia pada 22 Mei 2025. Filem animasi tempatan ini mencatatkan kejayaan besar dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM59.3 juta, menjadikannya sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi setakat ini.
SumbeR : BelutinTV3
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah