
KOTA BHARU: PAS akan bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di bawah logo Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau yang juga Ketua WHIP Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat, berkata ibu pejabat parti sudah memberi arahan kepada PAS Sabah untuk mengenal pasti calon-calon yang layak dan sesuai.
“Walaupun tidak ada kerusi yang pernah dimenangi PAS di Sabah sebelum ini, kita tetap optimis dan akan berusaha sebaik mungkin. Bagi saya, jika kita dapat menang satu kerusi pun, itu sudah cukup menggembirakan,” katanya.
Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas Batik Fun Run 2025 di Dataran Muhammadi, di sini hari ini.
Tambahnya, kepimpinan PN sedang merangka hala tuju untuk memperkukuh gabungan itu dan memahami suasana politik di Sabah, termasuk keperluan untuk memastikan semua pihak bekerjasama dalam satu gabungan yang kuat.
“Sebagai parti gabungan, kami percaya ini adalah masa yang tepat untuk mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam PN.
“Sebab itu, kami tidak akan bertanding secara solo kerana ia tidak relevan. Kita perlu ada gabungan yang kukuh untuk memberi impak yang lebih besar,” katanya .
Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen PN untuk PRN Sabah masih berjalan dan belum ada keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi ditandingi PAS.
“Proses pemilihan calon untuk PRN Sabah akan dimuktamadkan oleh PAS Pusat, negeri hanya bertanggungjawab untuk mencalonkan individu yang sesuai. Dalam hal ini, suara akar umbi dan pandangan daripada peringkat negeri akan diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat,” katanya.
SumbeR: Berita Harian
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah