Gaduh Guna Kerusi, Kayu, 9 Lelaki Ditahan Di Kinarut

Tangkap layar insiden pergaduhan antara dua kumpulan lelaki di sebuah restoran di Kinarut, Papar

PAPAR: Sembilan lelaki berusia antara 19 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan kes berhubung insiden merusuh dan bergaduh yang dilaporkan berlaku di sebuah restoran di Palm Square, Kinarut, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata punca kejadian itu dipercayai akibat salah faham apabila salah seorang suspek dikatakan tersalah memanggil nama pengusaha restoran dengan nada kasar.

“Mereka dikatakan berasa tidak puas hati dan berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua kumpulan itu dengan nada kasar.

Keadaan tegang itu menjadi tidak terkawal sehingga berlaku pergaduhan menggunakan kerusi restoran dan kayu sebagai senjata antara kedua-dua pihak,” katanya lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, Kamaruddin berkata pergaduhan itu kemudian dapat dileraikan oleh orang ramai di lokasi.

Beliau memaklumkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 60 akta sama, iaitu kerana melakukan rusuhan serta bergaduh di tempat awam.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, pergaduhan dipercayai tercetus kerana salah seorang suspek tersalah memanggil nama pengusaha restoran dengan nada kasar.

Keadaan menjadi semakin di luar kawalan apabila beberapa rakan kedua-dua pihak turut masuk campur sehingga tercetus ‘pertempuran’ menggunakan kayu dan kerusi.

Kejadian berkenaan sempat dirakam beberapa pengunjung restoran dan orang awam di lokasi sebelum tular di media sosial serta mendapat pelbagai reaksi daripada warga netizen.

Difahamkan semua suspek tampil menyerah diri kepada pihak polis sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *