Budak Maut, Sepupu Cedera Selepas Dirempuh Kereta Di Jalan Teluk Likas

Kanak-kanak maut di lokasi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Teluk Likas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut manakala sepupunya berusia tujuh tahun cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Teluk Likas, di sini pada pagi Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 pagi apabila dua kanak-kanak perempuan itu dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun.

“Kenderaan terbabit datang dari arah Sepanggar menuju ke Likas melalui lorong kanan sebelum melanggar kedua-dua mangsa yang melintas dari arah kiri ke kanan jalan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan, manakala sepupunya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan sedang dirawat di Zon Kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS). Keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat.

Pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur pengaruh alkohol atau dadah, namun sampel darah telah diambil untuk analisis toksikologi di Jabatan Kimia.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.

ACP Kasim turut menggesa orang awam yang menyaksikan kejadian agar tampil memberikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Brymenedren Godon di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Kami juga ingin menasihati ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memastikan keselamatan anak-anak, khususnya semasa melintas jalan di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan lintasan selamat,” tambah beliau.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *