
LAHAD DATU, 20 Jun 2025 : Polis sedang giat memburu rangkaian sindiket pengedaran dadah yang dipercayai beroperasi di daerah ini susulan penahanan dua lelaki warga asing dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Tapis, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, dalam serbuan pertama yang dijalankan di kawasan Batu 3, Jalan Segama, seorang lelaki warga Filipina berusia 23 tahun diberkas bersama 5.71 gram syabu.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar atau ‘transporter’ dadah tersebut.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Dalam serbuan kedua yang dijalankan di kawasan kebun sawit Batu 8, Jalan Segama, polis turut menahan seorang lagi lelaki warga Filipina berusia 27 tahun yang bekerja sebagai buruh, bersama 0.19 gram syabu.
“Ujian air kencing ke atas suspek kedua mendapati dia positif dadah jenis Amphetamine (Amp) dan Methamphetamine.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan itu dianggarkan bernilai RM649,” tambahnya.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut beliau, pihak polis akan terus mempergiatkan usaha operasi dan risikan dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar Lahad Datu.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah