Lelaki Maut Akibat Tayar Meletup Ketika Isi Angin Di Keningau

Menurut saksi yang juga rakan sekerja mangsa, dia melihat mangsa sedang mengepam tayar untuk kegunaan lori 10 tan sebelum tayar tersebut meletup.

KENINGAU : Seorang lelaki maut selepas terkena tayar yang meletup ketika sedang mengepam tayar tersebut dalam satu kejadian di tempat kerjanya di Jalan Durok, di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan luka di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan bahawa pekerjanya dipercayai telah meninggal dunia.

“Menurut saksi yang juga rakan sekerja mangsa, dia melihat mangsa sedang mengepam tayar untuk kegunaan lori 10 tan sebelum tayar tersebut meletup dan hentakan kuat terkena pada muka mangsa.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mengesahkan kejadian berlaku sebagaimana yang dimaklumkan oleh saksi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat luka di bahagian kepala yang dipercayai akibat hentakan daripada letupan tayar tersebut.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *