Lima Lelaki Positif Dadah Ditahan Dalam Operasi Polis di Sandakan

Kesemua suspek yang ditahan dibawah ke balai polis untuk siasatan lanjut.

SANDAKAN: Polis berjaya menahan lima lelaki tempatan yang didapati positif dadah dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan pada awal pagi kelmarin.

Operasi tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan Ops Tapis Narkotik yang menyasarkan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di sekitar daerah Sandakan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Kuppan berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menambah pihak polis akan terus mempergiatkan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan Sandakan bebas daripada pengaruh najis dadah. Polis juga menggesa orang awam supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah bagi membantu tindakan segera diambil.

“Operasi terbabit menegaskan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah berkaitan dadah di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *